Tidak dapat dinafikan bahawa hidup wanita dipengaruhi dan dikuasai oleh perasaannya. Ini kerana wanita kaya dengan perasaannya. Sembilan persepuluh daripada wanita adalah perasaannya (nafsu). Hanya satu persepuluh adalah pertimbangan akalnya. Justeru itu, untuk menghadapi dan memimpin mereka agar tunduk kepada Allah SWT, maka kaum lelaki hendaklah memainkan peranan penting dalam memahami dan mengawal perasaan mereka.
Dalam memimpin kaum wanita, kaum lelaki hendaklah cekap menggunakan daya fikir untuk mengolah bahasa dengan lidah yang petah supaya tercetus apa sahaja perasaan yang dikehendaki dalam hati perempuan.
Lelaki hendaklah merancang untuk mengubah dan mewujudkan setiap rasa yang dikehendaki dalam dada wanita yang bergelar anak, isteri atau ibu. Untuk itu seharusnya, kaum lelaki perlu tahu dan harus mempunyai daya kekuatan (akal) yang tinggi supaya dapat merancang apa yang diingini pada diri setiap wanita sebelum memiliki mereka.
Disinilah antara kejayaan para Rasul, Nabi dan wali Allah swt dalam memimpin umat manusia. Mereka dapat menjinakkan hati manusia dengan cara menawan perasaan mereka hingga menjadi umat yang patuh dan taat kepada Allah swt.
"PIMPINLAH KAMI DENGAN KASIH SAYANG"
Jangan katakan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala- galanya (harta). Apalagi yang dimahukan bila disyurga, semuanya ada (harta), namun Nabi Adam a.s. tetap merindukan Siti Hawa. Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki, tetapi kalau lelaki sendiri yang tidak lurus, tidak mungkin mampu hendak meluruskan mereka.
Tidak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus. Luruskanlah wanita dengan cara petunjuk Allah, kerana mereka diciptakan juga dari bahagian tubuh lelaki. Didiklah mereka dengan panduan dariNya.
JANGAN CUBA JINAKKAN MEREKA DENGAN HARTA, KELAK MEREKA AKAN SEMAKIN LIAR, JANGAN HIBURKAN MEREKA DENGAN KECANTIKAN, KELAK MEREKA AKAN SEMAKIN MENDERITA.
Apa yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Oleh itu, kenalkan mereka kepada yang kekal (Allah), kerana disitulah terdapat kuncinya (kesempurnaan hidup).
AKAL SENIPIS RAMBUT HENDAKLAH DITEBALKAN DENGAN ILMU, HATI SERAPUH KACA PERLU DIKUATKAN DENGAN IMAN, PERASAAN SELEMBUT SUTERA HARUS DIHIASI DENGAN AKHLAK .
Suburkanlah kebaikan kerana dari situlah nanti mereka akan nampak penilaian dan keadilan Tuhan. Bisiklah ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan adalah kelemahan semata-mata. Itu bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya itulah kasih sayang Allah, kerana rahim wanita yang lembut itulah yang akan mengandungkan lelaki-lelaki berwajah: negarawan, karyawan, jutawan, hartawan, dan wan-wan lain.
Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak mampu diluruskan, malah mereka pula lebih membengkokkan.
LEBIH BANYAK LELAKI YANG DIROSAKKAN OLEH PEREMPUAN DARIPADA PEREMPUAN YANG DIROSAKKAN OLEH LELAKI. SEBODOH-BODOH PEREMPUAN PUN BOLEH MENUNDUKKAN SEPANDAI-PANDAI LELAKI.
Inilah akibatnya apabila wanita tidak kenal Tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, apalagi mengenal lelaki. Kini bukan saja banyak boss telah kehilangan setiausaha, bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan kehilangan puteri. Bila wanita durhaka, dunia akan huru-hara. Bila tulang rusuk patah, rosaklah jantung, hati dan limpa. Para lelaki pula jangan hanya mengharap ketaatan sahaja, lelaki juga harus membina kepimpinan diri.
Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah pimpinlah diri sendiri dulu kepadaNya, jinakkan diri dengan Allah, nescaya jinaklah segala-galanya dibawah pimpinan anda.
JANGAN MENGHARAPKAN ISTERI SEMURNI SITI FATIMAH BINTI MUHAMMAD, KALAU PERIBADI BELUM LAGI SEHEBAT SAIDINA ALI BIN ABU TALIB.