“ Assalamualaikum”, kata Haji Mad memberikan salam.
“Waalaikumusalam”, sahut nek Jah dan yang lain.
Haji Mad merupakan seorang imam di masjid Felda Lubok Mentakap, Kedah. Walaupun wajahnya kelihatan biasa,namun sikapnya agak bengis. Anak-anak sentiasa menghormati dan takut akan sikapnya. Oleh kerana itu, Rokiah dan adik-adiknya sentiasa menuruti apa sahaja yang disuruh oleh ayah mereka itu. Namun disebalik sikap bengis Haji Mad, dia juga mempunyai nilai kasih sayang yang tinggi terhadap anak-anak, cuma tidak ditunjuknya secara terbuka.
Melihat kepada cara pemakaian Haji Mad dan Man, kelihatan mereka baru pulang dari menunaikan solat zohor dimasjid. Apabila nek Jah terlihat suaminya itu telah pulang, dia lantas bangun seraya mendekati kedua suami dan anak lelakinya itu.
“abang, mari la lihat wajah cucu pertama kita ini. Rokiah dapat anak lelaki”, kata Nek Jah berseri-seri wajahnya sambil menggapai tangan Haji Mad untuk mengajaknya melihat wajah bayi. Setelah Haji Mad mendekati, Abdul dan Rokiah lantas menyapa untuk bersalam sambil mencium tangan Haji Mad. Namun Haji Mad tidak berkata apa-apa dan juga tidak langsung mengalihkan pandangan ke arah bayi. Dia hanya melihat wajah kedua suami isteri, Abdul dan Rokiah lalu lantas bertanya.
“doktor cakap apa? Bayi ini sihat ke tidak?”.
Abdul lantas bersuara untuk menjawab, “alhamdulillah,bayi sihat,ayah. Doktor cakap dia sempurna dan tiada cacat cela.”, ujar Abdul untuk memberikan kepastian kepada ayah mentuanya itu bahawa bayinya tiada sabarang kekurangan sebagai manusia biasa.
“baguslah, jaga bayi tu elok-elok. Jangan jadi macam orang Kampung Bujang, tak reti jaga anak-anak. Semuanya sebab kerajaan, halalkan sangat hiburan.”, kata Haji Mad dengan nada yang agak tinggi dan marah kepada kerajaan yang tidak membendung hiburan yang berlebihan di negara ini pada masa itu.
Abdul dan Rokiah hanya diam seribu bahasa. Mereka tahu Haji Mad cukup marah dengan keadaan Kampung Bujang, kampung yang didiami oleh keluarga Abdul tidak jauh dari kawasan Felda Lubok Mentakap. Hampir seluruh penduduk kampung itu menyokong sepenuhnya setiap tindakan kerajaan dan memilih untuk mengundi kerajaan pada pilihanraya akan datang. Haji Wan, ayah kepada Abdul adalah salah seorang penyokong kuat parti kerajaan pada ketika itu. Berbeza dengan Haji Wan, Haji Mad pula adalah seorang penyokong parti pembangkang, yang ingin menegakkan keagamaan dan menolak sebarang hiburan supaya bertapak di negara ini. Pada mulanya, kelurga Haji Mad juga berasal dan tinggal di Kampung Bujang. Namun, akibat sering ditohmah oleh masyarakat kampung kerana sering berbalah dengan menegakkan parti pembangkang telah mengheret keluarga Haji Mad supaya berpindah ke Felda Mentakap. Oleh kerana itulah, Haji Mad berasa cukup marah dengan kampung Bujang, terutama pada penyokong kuat kerajaan, Haji Wan yang merupakan ayah kepada Abdul. Mereka pernah seketika bergaduh sehingga sanggup berbunuhan antara satu dengan yang lain, namun dihalang oleh beberapa penduduk kampung yang tidak menyebelahi mana-mana pihak. Walaupun kemarahan terhadap Haji Wan terlalu tinggi namun Haji Mad masih mengerti nilai kasih sayang, dan kerana itulah dia merestui perkahwinan Abdul dan Rokiah. Dia juga tertarik dengan perwatakan dan sikap Abdul yang baik dan penyabar. Namun Haji Mad tidak dapat menatapi dan merenung wajah bayi Abdul itu akibat terlalu marah dan benci terhadap Haji Wan. Baginya, wajah bayi itu seakan-akan seperti wajah Haji Wan.
Setelah bersuara, Haji Mad berlalu pergi meninggalkan yang lain lalu masuk ke dalam biliknya. Melihat kepada wajah Abdul dan Rokiah yang sedikit berubah dari ceria kepada muram akibat sindiran Haji Mad itu, Man terus pergi mendekati bayi yang telah diletakkan berbaring dan sedang tidur disebelah Rokiah.
“ comel kan bayi ni,kak. Apa namanya?”, ujar Man dengan harapan pertanyaannya itu dapat kembali menceriakan suasana.
“kakak hendak namakan bayi ini Ahmad Amin”, kata Rokiah kembali tersenyum. Abdul masih lagi muram, mungkin dia masih terasa hati akan kata-kata ayah mentuanya tadi. Mana tidaknya, kata-kata Haji Mad itu seolah-olah mengherdik Haji Wan, ayahnya sendiri, yang merupakan ketua penyokong parti kerajaan di Kampung Bujang. Melihat kepada wajah muram suaminya itu, Rokiah menyapa tangan Abdul lalu diusap-usapnya berharapan suaminya itu kembali ceria. Melihatkan pada usaha Rokiah untuk memujuknya itu bersungguh-sungguh, Abdul pun melemparkan senyuman kerana tidak mahu isterinya tahu akan perasaan terkilan yang masih wujud terhadap ayah mentuanya itu.
***